Lexis rai 42 kanak-kanak sempena Krismas

20 December 2018

Lexis-Xmas-CSR-2018.jpg

PORT DICKSON 20 Dis. - Seramai 42 kanak-kanak daripada Pertubuhan Kebajikan Shemariah, Kuala Pilah diraikan dalam satu majlis sempena sambutan Hari Krismas oleh Kumpulan Hotel Lexis, di sini baru-baru ini.

Menurut Presiden Kumpulan Hotel Lexis, Mandy Chew Siok Cheng, program itu merupakan acara tahunan dan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kumpulan berkenaan.

Beliau berkata, kanak-kanak yang berusia antara tiga hingga 18 tahun diraikan menerusi pelbagai aktiviti antaranya menaiki kapal pelayaran untuk melihat matahari terbenam, menerima hadiah dan menikmati hidangan di hotel berkenaan.

“Salah satu hadiah terbaik yang boleh kita berikan adalah kasih sayang dan memberi kegembiraan kepada mereka. Kami gembira kerana dapat memainkan peranan kecil semasa Krismas kerana mereka tidak pernah merasai pengalaman seperti ini,” katanya di sini.

Menurut beliau, program CSR itu diadakan menerusi kerjasama tiga hotel kumpulan tersebut iaitu Lexis Hibiscus, Grand Lexis dan Lexis Port Dickson.

Pada majlis itu, Mandy turut menyerahkan cek bernilai RM7,180 bagi menampung perbelanjaan pertubuhan itu selain menyampaikan cenderamata kepada kanak-kanak berkenaan.
 

Source: Utusan Online