KL Metro Group akan bina Lexis Hibiscus 2 di Port Dickson

27 July 2019
Bernama-LHPD2.png

PORT DICKSON, 27 Julai (Bernama) — Kuala Lumpur Metro Group (KL Metro) akan membina projek resort atas air bertaraf lima bintang baharu - Lexis Hibiscus 2, yang dijangka siap pada 2024.

Pengerusinya Datuk Mat Hassan Esa berkata projek yang dimulakan pada akhir tahun depan, bersebelahan Lexis Hibiscus, dijangka mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM500 juta.

“Projek ini merupakan usaha sama dengan Perbadanan Menteri Besar dan kami berbesar hati kerana berpeluang sekali lagi bekerjasama dengan Lexis Hotel Group untuk projek ikonik terbaharu ini. Projek ini akan mempunyai 760 villa, termasuk 582 vila atas air dan 178 vila 'sky pool' selain mempunyai kolam renang peribadi di setiap bilik.

"Pembinaan resort mewah ini juga mampu menyumbang kepada komuniti setempat dengan menawarkan kira-kira 3,000 peluang pekerjaan, bermula dari pembangunan hotel sehingga projek itu siap kelak,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani usaha sama KL Metro dengan Perbadanan Menteri Besar (Negeri Sembilan), di sini malam ini.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengarah Urusan KL Metro Datuk Low Tak Fatt, disaksikan Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mat Hassan berkata projek itu juga akan dilengkapi kemudahan utama yang lain seperti akuarium tenggelam yang dilengkapi restorannya sendiri.

Katanya Lexis Hibiscus 2 dijangka menarik 400,000 pelancong ke Port Dickson setiap tahun dan bakal menjana pendapatan pelancongan sebanyak RM240 juta setahun ,dengan purata setiap pelancong berbelanja RM600 untuk penginapan satu malam.

“Kami yakin Lexis Hotel Group bukan sahaja mampu membantu Lexis Hibiscus 2 mencapai kejayaan setara Lexis Hibiscus, bahkan menjangkaui pencapaian resort terkemuka itu sebagai pembangunan penginapan atas air terbesar di dunia,

"Sebaik siap, kami yakin kehadiran Lexis Hibiscus 2 bukan sahaja mampu mengukuhkan jenama Lexis, malah meningkatkan daya tarikan Port Dickson sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa dengan menarik 400,000 pengunjung setahun,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha mempromosi industri pelancongan di Port Dickson.

Sementara itu, Aminuddin berkata kerajaan negeri memperuntukan tanah seluas 32 hektar bagi pembangunan projek itu yang sebelum ini ditangguhkan atas beberapa faktor.

"Perjanjian projek yang dibina atas tanah kerajaan negeri ini diluluskan pentadbiran lama, bagaimanapun kerajaan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) menyemak semula perjanjian itu untuk menangani beberapa isu termasuk kebajikan nelayan.

"Selepas perjanjian baharu dibuat, pemaju hartanah kini perlu memperuntukkan pampasan RM12 juta kepada 42 keluarga nelayan, dengan setiap keluarga menerima RM1,000 sebulan sebagai ganti rugi sebaik proses pembinaan bermula yang dijangka tahun hadapan.

Aminuddin berkata kerajaan negeri juga akan memperoleh 20 peratus daripada keuntungan hotel itu setiap tahun,” katanya.