Lexis Hibiscus 2 dibangunkan tahun depan

27 July 2019
HM-LHPD2.jpg
 

KUMPULAN Kuala Lumpur Metro (KL Metro) akan melaksanakan projek pembangunan resort terbaru, Lexis Hibiscus 2 yang dijangka bermula tahun depan dan siap 2024.

Resort mewah bertaraf lima bintang itu akan dibangunkan bersebelahan Lexis Hibiscus sedia ada dan dijangka mencatatkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM500 juta.

Pengerusi KL Metro, Datuk Mat Hassan Esa berkata, resort itu akan mempunyai 760 vila berkolam renang terdiri daripada 582 vila atas air dan 178 vila sky pool dengan setiap vila mempunyai kolam renang peribadi untuk keselesaan pengunjung.

 

Beliau berkata, projek pembangunan ikonik terbaru itu adalah dengan kerjasama Lexis Hotel Group.

“Berbekalkan kepakaran dan pengetahuan pasaran tempatan yang utuh, kami percaya mereka dapat membantu Lexis Hibiscus 2 mencapai kejayaan setara Lexis Hibiscus dan menjadi pembangunan rumah atas air terbesar dunia.

“Lexis Hibiscus 2 dijangka menarik 400,000 pelancong ke Port Dickson setiap tahun.

“Jika setiap pelancong berbelanja RM600 bagi penginapan satu malam, ini bakal menjana pendapatan RM240 juta setahun sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat melalui 3,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Usahasama dan Pengumuman Rasmi Lexis Hibiscus 2 di Port Dickson malam ini.

Majlis berkenaan disaksikan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengarah Urusan KL Metro, Datuk Low Tak Fatt.

Mat Hassan berkata, pihaknya juga akan menjalin kerjasama dengan kerajaan bagi mempromosi industri pelancongan di Port Dickson dengan menarik pelancong dari segmen pelancong solo dan bebas (FIT), lawatan rombongan, percutian korporat, mesyuarat serta persidangan.

Sementara itu, Aminuddin pada sidang media berkata, perjanjian projek yang dibina atas tanah kerajaan negeri seluas 32 hektar itu diluluskan oleh pentadbiran lama.

Bagaimanapun katanya, kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan menyemak semula perjanjian itu untuk menangani beberapa isu termasuk kebajikan nelayan.

“Menerusi perjanjian baharu dibuat, pihak pemaju hartanah perlu memperuntukkan pampasan RM12 juta kepada 42 keluarga nelayan sebaik proses pembinaan bermula.

“Pampasan itu akan dibayar RM1,000 sebulan kepada nelayan sebagai ganti rugi kerana pembinaan resort itu dijangka menjejaskan pendapatan mereka,” katanya.

Beliau berkata, ia turut memberi manfaat kepada kerajaan negeri apabila mendapat 20 peratus daripada keuntungan resort itu.