Hotel murah fokus utama

01 January 2020
HMetro-Hotel-murah.jpg
 

KERAJAAN negeri akan bekerjasama dengan pengendali hotel dan ejen pelancongan supaya dapat menyediakan pakej pelancongan pada harga berpatutan di negeri ini.

Ia sebagai salah satu usaha menghadapi cabaran ekonomi 2020 sekaligus membantu meningkatkan industri pelancongan tempatan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malik berkata, langkah itu adalah persediaan bagi meningkatkan bilangan pelancong ke Negeri Sembilan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Kami akan berbincang dengan pengendali hotel dan ejen pelancongan supaya menyediakan pakej pada harga berpatutan sama ada kepada pelancong dari dalam atau luar negara.

“Kami juga meminta pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri supaya dapat menyediakan persekitaran yang selamat dan selesa kepada pelancong,” katanya ketika sidang media, hari ini.

Terdahulu, Razali bersama Tourism Malaysia menyambut kira-kira 300 pelancong dari Taiwan, Hong Kong, China dan India serta pelancong tempatan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 di Lexis Hibiscus, di sini.

Beliau berkata, kerajaan negeri memberi tumpuan terhadap tiga segmen utama iaitu eko-pelancongan, warisan dan kebudayaan serta pantai selain meningkatkan daya tarikan makanan masyarakat Negeri Sembilan.

“Untuk 2020, kerajaan negeri memperuntukkan bajet sebanyak RM8 juta sebagai persediaan Tahun Melawat Malaysia yang mana kami akan menambah baik infrastruktur dan mutu perkhidmatan di segmen yang diberi tumpuan.

Sementara itu, Presiden Kumpulan Lexis Hotel, Mandy Chew berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan negeri untuk menyediakan pakej pada harga berpatutan kepada pelancong.

“Hotel kami menyediakan perkhidmatan yang sesuai untuk seisi keluarga daripada pelbagai peringkat usia. Untuk 2020 kami sedang mempersiapkan Lexis Hibiscus supaya lebih mesra kanak-kanak.

“Kami akan menyokong usaha yang akan dilakukan kerajaan negeri dan pihak Tourism Malaysia dengan menyertai pelbagai program yang diadakan untuk mempromosikan Negeri Sembilan,” katanya.