Lexis Hibiscus bakal jadi destinasi perkahwinan bertaraf dunia

02 January 2020
mStar-destinasi-perkahwinan.jpg
 

KEHADIRAN 2020 mungkin memberi makna kepada pasangan yang merancang untuk berumah tangga kerana Lexis Hibiscus di Port Dickson Negeri Sembilan bakal mengangkat pusat peranginan itu sebagai destinasi perkahwinan bertaraf dunia.

Pemandangan indah untuk gaya hidup moden dan mewah di hotel berkenaan adalah langkah terbaik menjadikan destinasi percutian itu sebagai tarikan buat pelancong tempatan dan antarabangsa bagi merakamkan hari bahagia masing-masing.

Presiden Kumpulan Hotel Lexis, Mandy Chew Siok Cheng berkata, berdasarkan kepada sambutan baik pengunjung ketika ini, ia adalah strategi terbaik dalam usaha menaik taraf kemudahan di pusat peranginan itu.

“Tahun 2020 kami merancang untuk menjadikan Lexis Hibiscus sebagai destinasi pecutian pelbagai generasi iaitu dari nenek sehinggalah cucu selain pilihan kepada pasangan yang mahu berumah tangga sebagai destinasi perkahwinan bertaraf dunia,” katanya.

Dengan konsep percutian vila di atas laut itu, ia adalah kekuatan bagi Lexis Hibiscus untuk menyediakan kemudahan yang diinginkan bagi percutian keluarga dan pasangan yang baru berumah tangga.

Bukan itu sahaja, bagi pengunjung yang memilih menginap di hotel berkenaan, mereka juga akan berpeluang menikmati pelbagai makanan Negeri Sembilan yang diangkat sebagai tarikan tambahan dalam usaha menyokong sambutan Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020).

Untuk strategi ke arah itu, Kumpulan Hotel Lexis akan memperkuatkan lagi promosi pemasaran digital, memperkukuhkan media sosial selain menggunakan populariti influencer  atau key opinion leader (KOL). 

Dianggarkan kira-kira 60 peratus pengunjung ke hotel berkenaan adalah dari luar negara antaranya dari Taiwan, Hong Kong, Singapura dan juga China.

Dalam pada itu Lexis Hibiscus turut dijadikan sebagai lokasi pelancaran TMM 2020 peringkat Negeri Sembilan pada 1 Januari lalu.

Tetamu yang mendaftar masuk sempena Tahun Baharu 2020 diraikan dalam satu persembahan kebudayaan selain mereka turut disarungkan kain batik sebagai tanda keistimewaan Malaysia.

Ia turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Razali Ab Malik.

Sempena kempen TMM 2020, Malaysia mensasarkan 30 juta kedatangan pelancong luar dan perolehan pendapatan sebanyak RM100 bilion dengan pelbagai perayaan dan aktiviti disediakan sepanjang tahun di seluruh negara.